Tuesday, December 22, 2009

Maksud Islam

Islam adalah agama Allah yang diturunkan sebagai panduan hidup manusia sejak zaman berzaman. Bermula dengan zaman Nabi Adam sehingga manusia terakhir dilahirkan. Islam sahaja suatu cara hidup yang sempurna dan sepatutnya menjadi pegangan setiap manusia. Agar mereka selamat di dunia dan sejahtera di akhirat yang berkekalan. Kehidupan di dunia ini (dengan segala isinya) hanyalah semata-mata menjadi tanda kewujudan kehidupan di akhirat.

Sekiranya diperhatikan di dunia ini, tidak suatu perkara pun yang diciptakan tanpa faedah. Sekiranya hasil ciptaan manusia pun ada faedah, masakan ciptaan manusia oleh Allah SWT adalah sia-sia sahaja? Adakah dikira berfaedah sekiranya ciptaan manusia hanya untuk menikmati kehidupan selama 50 sehingga 100 tahun sahaja? Dengan pelbagai halangan dan kesusahan, sakit dan kesakitan? Sedangkan kadar kesusahan manusia sekiranya hendak dibandingkan dengan kesusahan makhluk-makhluk lain adalah berlipat-lipat kali ganda. Susah yang manusia hadapi lagi banyak. Apakah ia sesuai dengan kejadian manusia? Apakah cukup faedah atau manfaat daripada ciptaan manusia?

Persoalan tersebut menjadikan kita faham kebenaran tentang wujudnya alam lain selain alam dunia. Dunia itu sendiri berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud “kurang” atau “rendah”. Orang Arab menyatakan “Ad-Danwu minal Ardh” maksudnya “muka bumi yang bertanah rendah”. Alam lain yang dimaksudkan ialah suatu alam yang tiada penghujungnya dan penuh dengan nikmat-nikmat sesuai dengan manfaat kejadian manusia.

Sebagai contoh manusia ingin melihat lebih daripada 2 kilometer. Di dunia perkara tersebut tidak tercapai. Sekiranya kita berada di suatu negeri, mustahil mata kita dapat melihat keadaan (atau keindahan) yang ada dan berlaku di negeri yang lain. Kalau penglihatan pada waktu malam pula, maka ia lebih terbatas kepada jarak mungkin 200 meter sahaja. Ada juga manusia terpaksa menggunakan cermin mata hanya untuk membolehkannya membaca atau melihat objek sejauh 100 cm sahaja daripada dirinya. Malah lebih dekat.

Dengan wujudnya teknologi seperti internet dan satelit, tv dan video dan seumpamanya maka kita dapat juga hari ini melihat negeri luar walaupun pada masa tersebut kita berada di negeri kita sendiri. Kemampuan manusia hari ini mencipta alat (dengan izin dan idea juga daripada Allah) juga merupakan bantuan Allah agar umat kini lebih faham erti wujudnya alam akhirat yang mana penglihatan padanya tidak terbatas. Sehingga mata kita ini mampu melihat zat Allah juga. Yang ianya telah menjadikan gunung itu hancur setelah Nabi Ibrahim meminta agar Allah menjelma. Usahkan mata manusia di dunia. Gunung itu pun hancur berkecai. Itulah kelemahan dunia yang Allah akan cukupkan (gantikan) dengan kesempurnaan di akhirat.

Manakala Islam, ia adalah suatu tatacara, dustur, atau panduan hidup yang sempurna bagi manusia di dunia. Hal ini ditegaskan sendiri oleh Allah dalam al-Quran. Islam adalah agama dan cara hidup yang sempurna di dunia dan dengannya sahaja manusia akan menikmati kesempurnaan di akhirat.

Islam maksudnya “Istislam” iaitu menyerah diri kepada ketentuan Allah. Apa sahaja yang diperintahkan Allah daripada sekecil-kecilnya seperti menyucikan diri daripada najis (bab taharah) sehingga peraturan mewujudkan negara yang taat dan patuh kepada Allah dan syariatNya. Masakan kita dikira muslim (orang Islam) kalau kita masih boleh mengatakan ada perkara-perkara yang telah ditentukan oleh Allah itu sebagai perkara yang remeh temeh? berhak kah kita untuk itu. Adakah kita dengan perbuatan (kita hari ini) telah benar-benar menyerah diri kepada ketentuan Allah?

Janganlah kita jadi seperti kaum yahudi yang mana suatu ketika mereka meminta Allah menentukan suatu perkara kepada mereka. Setelah ketentuan Allah itu tiba maka mereka tanpa segan silu telah memungkirinya.

Marilah sama-sama kita semak semula iman kita, Islam kita dan tempat kita di sisi Allah SWT.. wallahu aklam.

No comments:

Post a Comment